header image
 

Kehilangan

Langkahnya diatur satu persatu. Sesekali dia berhenti untuk mengamati lukisan yang terpamer. Sebuah lukisan kelihatan abstrak, penuh warna warni yang dicanai agar kelihatan sebati oleh tangan pengkaryanya. Sebuah arca yang diamatinya membayangkan sebuah lembaga yang tidak cukup sifat. Kasar buatannya dan kelihatan seperti kayu buruk yang boleh dijumpai di mana-mana tebing sungai. Dia tidak faham maksud lukisan mahupun arca tersebut, namun dia tetap mengamatinya satu persatu. Cuba mencari apa yang ingin disampaikan oleh para pengkarya. Cuba mencari sekelumit yang mungkin boleh difahami olehnya.

Langkahnya terhenti di hadapan sebuah lukisan. Ianya adalah potret seseorang yang tidak dikenalinya. Orang itu kelihatan segak dengan kot dan rambut hitam berkilat yang tersisir rapi. Raut wajahnya serius, penuh keyakinan. Walaupun dia tidak mengenali wajah pada potret tersebut namun dia mengagak yang digambarkan itu mungkin merupakan seorang tokoh yang telah banyak mencapai kejayaan di dalam hidupnya.

Matanya turun ke plet mencari nama kepunyaan wajah itu. Namun tiada nama sesiapa yang tertulis. Yang ada cuma nama karya tersebut iaitu “Kehilangan”. Dahinya berkerut. Mengapakah nama ini yang diberi? Apakah yang hilang? Langsung dia merapati lukisan tersebut. Ditelitinya setiap inci lukisan itu dari kanan ke kiri dan dari atas ke bawah. Tiada apa yang tak kena pada amatannya. Dia tidak faham. Dia memutuskan untuk meneruskan langkah ke karya seterusnya apabila dia perasan sesuatu pada lukisan tersebut. Dia mendekatkan matanya untuk memastikan. Di bahagian dada potret itu, sebahagian kecil daripada kanvas lukisan itu hilang seolah-olah telah dipotong keluar. Sekali imbas kesan potongan itu agak susah untuk dikenalpasti oleh kerana ianya kecil dan ditambah dengan warna latar dinding yang agak serupa.

Dia berundur beberapa langkah menjauhi lukisan tersebut. Diperhatikannya secara keseluruhan potret itu semula. Riak wajah yang dilihatnya kini lain daripada apa yang diliihatnya tadi. Segaknya masih ada, namun perasaannya sudah berubah. Masih serius, namun keyakinan sudah berganti dengan ketidakpastian. Mata potret itu dilihatnya memandang kosong ke hadapan. Ada risau dan sedikit sedih. Seolah-olah telah kehilangan sesuatu yang penting di dalam hidupnya. Sememangnya lukisan itu kehilangan secebis yang penting daripadanya. Lebih-lebih lagi cebis yang hilang itu merupakan bahagian di dada di mana terletaknya hati.

Dia masih terpaku di situ. Daan pandangannya masih tidak lekang daripada potret tersebut. Seolah-olah memahami kehilangan yang dirasakan oleh potret tersebut. Di dalam diam itu, dia berasa seperti dia sedang melihat dirinya sendiri.

*jika ada masa lapang, silalah berkunjung ke http://ekspresia.blogspot.com/. lepas2 ni saya post kat sana je. tp sesekali akan repost di sini sekadar utk pemberitahuan.. terima kasih :)

Sepi

Sepi.

Segalanya sudah mati.

Tanpa jasad, tanpa memori.

Sunyi.

Tiada lagi pin jatuh untuk didengari.

Tiada lagi bunyi walau degup jantung sendiri.

Kosong.

Masa bagai terhenti.

Ruang bagai tiada erti.

Gelap.

Mata sudah tiada fungsi.

Cahaya telah tiada seri.

Bosan.

Harapan sudah tiada lagi.

Yang tinggal hanya mati.

—————————————————————

Nadir

20Nov2008

12:10pm

*nota : disebabkan friendster mcm sux je kebelakangan ni, maka ekspresia telah dipindahkan ke http://ekspresia.blogspot.com. Sila berkunjung jika ada kelapangan! :)

Batu

Lagu “Like a stone” dendangan Audioslave berkumandang di corong radionya. Lagu itu memang kegemarannya dan agak jarang diputarkan oleh stesen-stesen radio utama. Dia sepatutnya rasa gembira sepertimana yang dia selalu rasa apabila lagu kegemarannya dimainkan, namun kali ini tidak. Matanya memandang kosong ke arah kereta Suzuki Swift biru di hadapannya yang tidak bergerak-gerak dari tadi. Di hadapan Swift itu samar2 kelihatan sebuah Honda CRV model baru, iaitu model yang tiada tayar tergantung di belakangnya. CRV itu pun tidak bergerak. Begitu juga dengan kenderaan di hadapan CRV tersebut yang dia sudah tidak perasan jenis apa, dan begitu juga kenderaan di hadapan kenderaan itu.

” I’ll wait for you there.. like a stone.. I’ll wait for you there.. alone….” dayu suara vokalis Audioslave itu menerjah telinganya, namun ia tidak lagi menusuk hatinya seperti kebiasaan. Hari ini hatinya sudah sebal. Dia tidak tahu berapa lama lagi dia sanggup menunggu di situ seperti batu. Ditambah lagi dengan keroncong perutnya yang minta diisi dari pagi tadi lagi. Kadang2 deretan kenderaan itu bergerak juga sebentar, tetapi hentinya berganda-ganda lebih lama. Setiap gandaan henti itu secara tidak langsung menaikkan suhu hatinya. Puas mindanya memujuk, namun segala apa jenis alasan sudah tidak mungkin berkesan menurunkan panas hatinya ini. Ingin saja dia turun dan menjerit kepada mereka2 di hadapannya. Namun dia harus sabar. Mungkin ada hikmahnya di sebalik semua ini. Dia terus memandang kosong ke hadapan. Sebal dan panas.

Akhirnya mimpi ngeri itu sampai jua ke penghujungnya. Swift di hadapannya mula bergerak laju meninggalkannya. Kenderaan-kenderaan lain sudah lama lepas pergi. Dengan gear satu dan muka yang mencuka perlahan-lahan dia maju, dan tak beberapa meter kemudian dia berhenti. Diturunkannya cermin tingkap keretanya dan sebuah wajah yang sangat cantik dengan sepasang mata yang seakan bersinar-sinar dan lesung pipit kecil menghias senyuman mengiringi satu suara lunak manja menyapanya, “Selamat datang ke McD*****’s, boleh saya ambil pesanan encik?”.

” I’ll wait for you there.. like a stone.. I’ll wait for you there.. alone….” terngiang-ngiang lagu tadi di mindanya. Dayunya kembali segar menusuk hatinya. Sebal dan panas pantas berganti bunga-bunga.

Mimpi

Semalam dia bermimpi yang aneh. Bermula daripada kemalangan kecil antara keretanya dan sebuah kereta yang lain di hadapan sebuah klinik, berlanjutan kepada perselisihan faham antara dia dan misi2 di dalam klinik tentang perkara yang dia sendiri kurang pasti butirnya. Kemudian segalanya terhenti dek bunyi letupan yang sangat kuat di luar yang apabila ditinjau, telah menghasilkan sebuah kawah yang besar di ‘parking lot’ hadapan bangunan itu. Dia dan rakan2nya seakan2 mengetahui bahaya yang akan menimpa mereka dan bergegas masuk ke trak dan memecut laju untuk meninggalkan kawasan bandar itu. Malangnya tak sampai 5 ratus meter memecut, trak mereka seperti disambar denyutan elektromagnet yang terus menyebabkan enjin trak mereka mati tanpa boleh dihidupkan semula. Dari tingkap trak, mereka mendengar bunyi semboyan kuat dari angkasa dan melihat satu demi satu lembaga2 gergasi berkaki tiga turun menjejakkan kaki di muka bumi. Dia teringat cerita ‘War of the Worlds’ karya Steven Spielberg.Fikirnya masakan perkara tersebut kini jadi kenyataan. Serentak dengan itu satu demi satu manusia yang bertempiaran lari direnjat oleh sinaran bak kilat yang menghilangkan mereka tanpa kesan. Dia kaget. Dia perlu menyelamatkan diri. Lantas dia meluru keluar dari trak itu dan lari sepantas yang boleh dengan harapan lembaga itu tidak nampaknya dek kerana sibuk menembak manusia2 lain selainnya. Dia tahu harapan sebegitu tidak baik tetapi buat masa itu, keselamatan dirinya sendiri adalah lebih penting baginya. Namun harapannya itu terbantut apabila lembaga itu mula menembak ke arahnya dan dua tiga kali juga hampir kena kepadanya tetapi sebaliknya mengenai kereta atau orang2 malang di sekitarnya. Dia hairan, rasanya seperti dia sedar yang dia sedang bermimpi pada ketika itu tetapi perasaannya tidak sedar dan menganggapnya benar. Dia tahu jika dia terlintas sahaja kemungkinan dirinya akan maut di dalam mimpinya, maka itulah yang akan berlaku di dalam mimpinya. Dia menjadi semakin panik, dan maut seperti tidak boleh dielakkan lagi. Tembakan seterusnya akan mengenai dia. Dia sangat pasti perkara itu. Dia cuba sedaya upaya seluruh sisa2 tenaganya untuk menjerit memberitahu fikirannya yang dia tak boleh mati di dalam mimpinya. Dan pada saat2 kritikal tersebut, satu kuasa terakhir entah dari mana datang dan mengejutkannya dari mimpi tersebut. Dia rasa seakan2 terlepas dari sebuah ikatan tenaga dengan nafas yang kencang dan dahi dibasahi peluh. Sejurus kemudian nafasnya jadi tenang semula, dan perasaan lega berbaur syukur menyelubungi dirinya kerana diberi peluang yang kedua untuk terus hidup.

Sungai

Bunyi air sungai yang mengalir sangat mengasyikkannya. Deruman air yang agak kuat dari arah hilir menandakan ada jeram tidak berapa jauh dari tempatnya itu. Udara yang lembap dan segar memberi nyaman pada kulitnya. Batuan besar dan kecil pelbagai rupa menghiasi kiri dan kanan tebing sungai diselangi dengan pokok2 renek dan belukar2 kecil. Hijau alam meliputi hampir keseluruhan kawasan. Sejuk matanya memandang.  Sejurus itu matanya dipejamkan dan haruman semulajadi alam dinikmatinya dengan menarik nafas dalam2. Langsung dia teringat kekasihnya yang jauh. Alangkah bagusnya jikalau beliau berada bersamanya ketika ini, dan sama-sama menikmati keindahan alam semulajadi ini dengan 5 deria anugerah Tuhan. Dia membuka matanya semula dan memandang kepada jernih air sungai yang tak henti2 mengalir. Refleksi langit biru dan awan putih di permukaannya bergerak2 seakan hidup dek alunan alir sungai. Hatinya tenang. Terus jemarinya diunjurkan ke permukaan sungai tersebut dan mengocak2 kecil air. Dingin air dari gunung itu memanjat dari tangan sehingga ke tengkuknya membuatkan bulu romanya berdiri seketika. Dia hampir tersenyum kegelian seorang diri apabila tiba-tiba asyiknya itu diganggu oleh satu tempikan. “Forward paddle!!!” jerit Din, tekong bot getahnya memberikan arahan. Dengan pantas dia membetulkan helmetnya dan juga duduknya di tebing bot getah tersebut, mencapai pengayuh dan kemudian bersama2 4 orang lagi rakannya yang sedia ada bersamanya, kembali mendayung bot getah tersebut meneruskan ekspedisi mereka menuruni jeram sungai itu.

Kucing

Lamunannya terganggu oleh ngiauan kuat kucing bersahutan di luar rumahnya. Bunyinya lain daripada ngiauan biasa, sedikit serak, lebih dalam, dan lebih panjang. Garang. Dia faham sangat dengan makna ngiau sebegitu. Konfrontasi akan meletus bila2 masa saja. Namun begitu, tanpa mempedulikan ‘jual beli pantun’ antara kucing-kucing tersebut, fikirannya perlahan menerawang ke masa lampau.

Satu masa dahulu rumahnya pernah didatangi oleh seekor kucing kelabu. Kucing kelabu yang agak gempal ini selalu bertandang dan bermain-main dengan kasutnya di hadapan pintu rumah mahupun beristirahat di atas tembok pagarnya. Dia tidak pernah kisah atau marah kerana kucing kelabu itu tidak pernah masuk ke dalam rumah mahupun mengiau2 meminta makanan. Kadang2 ia duduk saja menemani dia yang sentiasa asyik dengan barang2 hobinya.

Kucing kelabu itu sangat manja dengan tuannya yang juga merupakan jiran di rumah hadapan. Sesekali dia melihat kucing kelabu itu asyik sangat apabila tuannya mengusap2 belakang lehernya. Namun begitu, ia tidak suka dibelai oleh orang lain selain tuannya. Dia tidak kisah. Asalkan kucing kelabu itu sudi melawatnya selalu, ia sudah cukup buatnya. Lagipun itu bukan kucingnya.

Lama kelamaan kehadiran kucing kelabu itu semakin disenanginya. Sehinggakan jikalau ia tidak muncul sehari dia akan tertanya2 juga ke mana perginya. Mungkinkah tuannya marah kerana asik bertandang ke sini? Adakah kucing kelabu itu disayangi oleh tuannya? Mungkinkah kucing kelabu tersebut akan lebih bahagia dengannya di sini? Dia sendiri rasa bahagia dengan kehadiran kucing kelabu itu. Dia bercadang untuk mula memberi kucing kelabu itu makan dan melayannya dengan baik selepas ini. Harapannya ialah supaya kucing kelabu tersebut akan jadi lebih suka padanya. Dan mungkin satu hari nanti dapat menerima belaiannya pula.

Maka pada suatu hari kucing kelabu tersebut bertandang, dia meletakkan semangkuk makanan ke lantai dan memanggilnya datang dekat. Kucing kelabu itu datang menghampirinya. Langkahnya laju. Hati dia mula berbunga. Sehinggalah ternampak ia akan makanan tersebut, langkah kucing kelabu itu terhenti seketika, dan kemudian ia mendongak melihat ke arahnya. Sebaik mata mereka bertemu, dia terkasima. Langsung kucing kelabu tersebut berpaling dan beredar meninggalkannya. Dia tergamam melihat makanan yang diberi tidak tersentuh. Lebih dari itu dia tergamam kerana tenungan kucing kelabu itu tadi. Tenungan itu seakan2 mengandungi kekecewaan terhadapnya. Seolah2 kucing kelabu itu dapat membaca niat hatinya di sebalik semangkuk makanan tersebut.

Matanya lemah menyongsong langkah kucing kelabu itu keluar dari pagar rumahnya menuju ke rumah tuannya. Di dalam hati kecilnya, dia hampir pasti yang kucing kelabu tersebut tidak akan kembali menjejakkan kakinya ke sini lagi. Dia rasa marah. Salahkah dia berbuat begitu tadi? Salahkah dia jika ingin disayangi? Mengapa datang seperti memberi harapan dan kemudian pergi begitu sahaja seperti tiada apa? Hatinya sebal. Dia geram kerana diperlakukan begitu. Namun sedikit demi sedikit marah dan geram itu reda dan kemudian terbit pula kesal di dalam hatinya. Kesal kerana halobanya. Dia sedar yang dia telah tamakkan perhatian kucing kelabu itu. Dia kesal kerana sikap mementingkan dirinya. Dia kesal kerana dalam diam dia telah inginkan kucing kelabu itu untuk dirinya.

Lamunannya sekali lagi terganggu dek bunyi cakaran dan dengusan. Pasti kedua kucing tadi sudah puas bertegang bulu dan kini sedang membuktikan kejantanan masing2. Dia tersenyum sendirian mengenang kenangannya seketika tadi sambil tangannya mengusap2 leher seekor kucing hitam putih gebu yang leka berbaring tanpa menghiraukan apa yang berlaku.

sekadar gambar hiasan

sumire - sekadar gambar hiasan

Buntu

Dia menggaru kecil kepalanya. Lantas bangun dan berjalan keluar. Di luar, dia berdiri menghadap pepohon hijau yang mendereti jalan. Dikeluarkannya sebatang rokok dan dinyalakan. Merah menyala hujung rokok itu apabila dia menyedut dalam, dan seketika kemudian dihembuskan keluar asap dari mulutnya. Berkepul2 keluar asap yang kelihatan nipis itu setelah ditapis segala jenis racun oleh paru2nya. Entah berapa banyak sel-sel tubuhnya yang gugur akibat sedutan maut itu. Namun fikirannya langsung tidak menghiraukan hakikat itu. Fikirannya juga tidak menghiraukan langsung nyaman udara selepas hujan yang sedikit tercemar oleh asap rokoknya. Juga dedaun yang kelihatan lebih hijau dek simbahan nikmat bernama hujan. Fikirannya terlalu buntu untuk menghiraukan semua itu. Buntu terhadap apa, dia pun tidak faham. Hidupnya selesa. Bahagia. Cukup makan dan minum. Bebas ke sana ke mari. Ramai rakan dan taulan menemani. Sihat tubuh badan. Syukur dan wasatiah. Namun dari semasa ke semasa dia akan menghadapi kebuntuan ini. Seperti ada yang masih belum cukup. Seperti ada yang masih belum selesai. Seperti dia berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Serba tidak kena. Dan setiap kali kebuntuan itu melanda, temannya hanyalah sebatang balutan kecil ini. Balutan kecil bertopeng suci putih yang kononnya setia membakar diri demi melegakan fikirannya. Dan adakah dia lega? Jauh sekali. Namun fikirannya terlalu buntu untuk menghiraukan segalanya.

nikmatkah?

nikmatkah?

Kebolehan

Setiap manusia mempunyai kebolehan tersendiri yang dikurniakan Tuhan. Ianya terpulang pada mereka untuk mencari apakah ianya dan seterusnya  mendalami atau menggunakannya mengikut kebijaksanaan masing2. Ada yang sejak kecil telah mengenalpasti kebolehan diri mereka dan telah berusaha memantapkan kemahiran tersebut melalui laluan atau ‘channel’ yang betul dan hasilnya ialah golongan2 professional termasuklah atlet2 sukan,penyelidik dan saintis, penggiat seni, ahli2 falsafah dan macam2 lagi. Ada juga yang lambat menyedari tentang kebolehan diri mereka tersebut kerana mungkin lambat menerima pendedahan ataupun faktor2 lain tetapi mereka tetap berusaha memahirkan diri di dalam bidang2 tersebut sebagai minat, hobi ataupun apa sahaja. Ada juga di antara mereka ini yang turut menyertai golongan pertama tadi iaitu melakukannya secara professional. Golongan terakhir ialah golongan yang langsung tidak menyedari yang mereka sebenarnya mempunyai kebolehan2 tertentu disebabkan oleh faktor2 pemikiran, masyarakat sekeliling, ekonomi, budaya, keluarga dan macam2 lagi. Golongan ini akan menganggap diri mereka tidak berkebolehan dan langsung tidak mempunyai inisiatif untuk berusaha memahirkan diri mereka. Maka mereka biasanya ketinggalan dari banyak segi di dalam masyarakat samada dari segi ekonomi, sosial, budaya dan minda.

Persoalannya di sini di dalam golongan manakah dia berada sekarang? Dia mungkin tergolong di dalam kumpulan yang pertama, iaitu seorang professional di dalam bidangnya, boleh dikatakan berkebolehan tetapi ianya mungkin hanya kebolehan yang dipelajari dan dilakukannya tanpa minat yang mendalam.  Dia juga mungkin di dalam golongan yang kedua iaitu golongan yang lambat menyedari, namun tetap berusaha kerana minat dan juga ianya kebolehan semulajadinya. Dan dia juga tidak menafikan yang mungkin dia turut berada di dalam golongan ketiga dari segi menidakkan kebolehan2 tertentu yang dia sedar dia ada tetapi tidak berusaha untuk memahirkan dirinya di dalam bidang2 tersebut. Adakah dia perlu buat keputusan untuk memilih untuk berada di dalam satu golongan sahaja atau terus menerus membiarkan dirinya terangkum di dalam semua kategori tersebut? Dia masih belum tahu jawapannya lagi.

Indah

Dunianya terasa begitu indah. Setiap saat yang dilaluinya disaluti bahagia. Setiap nafas yang disedutnya terasa manis dan membawa erti. Setiap yang dilihatnya seperti turut merasakan apa yang dia rasa. Alam bagaikan mengerti perasaannya dan menyambut mesra luahan hatinya yang terbuka luas sehingga ke dasar itu. Langit kelihatan begitu damai, cerah lembut dengan alunan awan mengukir senyum padanya. Alunan ombak di dada laut seperti memain irama gembira di atas pentas kebiruan. Deretan pepohon meliuk lemah gemalai, rela dengan belaian angin bagaikan saling menari mesra antara keduanya, sesekali angin itu menggamit wajahnya dengan ulitan manja bagai mengajaknya turut sama menari. Desir ombak yang menghempas pasir bagai gubahan enak yang mengiringi tarian alam penuh harmoni membuat hatinya tersentuh. Terharu dengan alam yang begitu memahami hatinya dan berkongsi bahagianya, hatinya berasa sebak dengan syukur. Anugerah yang dikurnia Tuhan padanya ini terasa terlalu besar baginya yang bukan sesiapa ini. Dia menarik nafas dalam2, menikmati bahagia ini dengan setiap zarah jasadnya dan sepenuh2 jiwanya, menikmati bahagia ini dari satu nafas ke nafas yang seterusnya, menikmati bahagia ini bagaikan esok adalah sesuatu yang tak pasti, dan hatinya tak putus2 berdoa moga kasih sayang yang sama turut dirasai oleh si dia di sana..

Pilihan

Dia keliru. Mengapa mesti dia yang harus buat pilihan. Mengapa dia harus pilih. Tidakkah bagus jika segalanya ditetapkan dan manusia tidak perlu buat pilihan? Tidak perlu pening kepala. Namun begitu dia tahu itu hanya luahan dangkal oleh hatinya yang sedang emosi. Dia sedar tanpa pilihan, manusia tidak akan perlukan akal. Tuhan beri akal untuk berfikir dan buat pilihan. Malah dari saat kita bangun dari tidur setiap pagi kita sudah berdepan dengan pilihan, samada untuk bangun terus, atau sambung lagi 5 minit, atau buka mata dan angan2 dahulu atau bermacam2 lagi pilihan yang boleh kita ambil. Cuma kita jarang sedar yang kita ada pilihan. Salah atau betul pilihan tersebut tidak penting. Yang salah boleh diperbetulkan, yang betul boleh digalakkan lagi. Yang penting ialah buat pilihan. Memilih untuk tidak memilih hanyalah alasan diri untuk tidak mahu bertanggungjawab. Kini dia harus memilih. Pepatah ‘ ditelan mati emak diluah mati ayah’ merupakan ungkapan yang tepat menggambarkan keadaannya sekarang. Dahinya mula berpeluh. Fikirannya berkecamuk. Mulutnya terkumat kamit tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Dan jari telunjuknya kelihatan menggeletar apabila dihalakan pada menu pilihannya.